Kawasan terjejas Banjir Malaysia Mac 2023

Sarawak

Pada pagi 28 Februari, dua pusat pemindahan telah dibuka di daerah Bau, Kuching melibatkan 17 mangsa dari tujuh keluarga.[2] Pada pagi 1 Mac, mangsa yang dipindahkan terus meningkat kepada 278 orang daripada 65 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan.[3] Banjir di Sarawak mulai pulih apabila hanya 14 orang yang masih dipindahkan di Sarikei pada 3 Mac.[4]

Sabah

Lewat malam 28 Februari, dua pusat pemindahan telah dibuka di Kota Marudu dan Tongod menempatkan 464 orang mangsa banjir daripada 166 keluarga. 377 orang daripada 149 keluarga dipindahkan di Kota Marudu manakala 87 orang daripada 17 keluarga dipindahkan di Tongod.[5] Banjir di Sabah pulih sepenuhnya pada 2 Mac setelah pusat pemindahan terakhir di Tongod ditutup.[6]

Johor

Pada 1 Mac, 21 pusat pemindahan telah dibuka sejak jam 1 pagi menempatkan 1,591 orang daripada 560 keluarga di empat daerah. Segamat menjadi daerah yang paling terjejas diikuti Johor Bahru, Kluang dan Kota Tinggi.[7] Mangsa banjir di Johor terus bertambah kepada sembilan ribu orang pada malam itu dengan semua daerah telah terjejas.[8] Pada 2 Mac, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan terus bertambah kepada 24 ribu orang yang ditempatkan di 177 pusat pemindahan.[9] Pada 3 Mac, mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 34,849 orang.[4]

Pahang

Pada 1 Mac, empat pusat pemindahan telah dibuka di Rompin dan Maran melibatkan 171 orang dari 49 keluarga.[10] Jumlah mangsa banjir yang telah dipindahkan meningkat kepada 293 orang dengan tiga daerah baharu terjejas iaitu Jerantut , Pekan dan Raub.[8] Pada 2 Mac, jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat kepada lebih 1000 orang yang ditempatkan 25 pusat pemindahan.[9] Pada 3 Mac, jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 2,186 orang di 21 pusat pemindahan dengan Temerloh menjadi daerah baharu terjejas.[4]

Negeri Sembilan

Pada 1 Mac, pusat pemindahan pertama telah dibuka di Tampin menempatkan 29 orang disusuli pembukaan lagi dua tempat pemindahan di Jempol.[11] Sebanyak sembilan pusat pemindahan telah dibuka dengan Kuala Pilah menjadi daerah terbaharu terjejas dengan dua pusat pemindahan dibuka.[12] Pada 2 Mac, satu lagi pusat pemindahan telah dibuka dengan jumlah mangsa banjir di Negeri Sembilan meningkat kepada 760 orang.[9] Pada 3 Mac, jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan kepada 938 orang daripada lebih 1000 orang sebelumnya.[4]

Melaka

Negeri Melaka mula terjejas akibat banjir pada 1 Mac dengan 22 mangsa banjir dipindahkan ke dua pusat pemindahan di Jasin dan Alor Gajah.[13] Pada 2 Mac, mangsa banjir di Melaka meningkat sedikit kepada 67 orang pada sebelah pagi namun jumlah mangsa banjir berkurangan semula kepada 49 pada petangnya.[14] Pada 3 Mac, mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 204 orang di lima pusat pemindahan.[4]

Rujukan

WikiPedia: Banjir Malaysia Mac 2023 https://www.astroawani.com/berita-malaysia/banjir-... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/banjir-... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/banjir-... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/banjir-... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/lebih-9... https://www.bharian.com.my/berita/kes/2023/03/1071... https://www.bharian.com.my/berita/kes/2023/03/1071... https://www.bharian.com.my/berita/kes/2023/03/1071... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03...